BaNyAk KeTawA, maTI JiWA..


BANYAK KETAWA,MATI JIWA

"SUKA dan duka menjadi asam garam kehidupan. Setiap insan sering dihadapkan dengan pelbagai keadaan hidup yang memerlukan tindakan mental dan fizikal tertentu. Menangis dan hiba sering dikaitkan dengan kedukaan dan penderitaan, manakala ketawa selalunya menjadi manifestasi keriangan dan kepuasan yang tidak semua insan dapat merasainya.

Islam tidak pernah melarang umatnya untuk melahirkan rasa kegembiraan dan kepuasan hati mereka dengan ketawa. Namun, sebagai agama syumul dengan pelbagai adab dan disiplin, maka syariat tetap membataskan tahap ketawa yang dibenarkan. Ini bagi mengelakkan orang Islam dipandang rendah martabatnya oleh bukan Islam.

Menyingkap sirah Rasulullah ketika Baginda hebat melancarkan misi dakwah melalui jihad perang selepas hijrah ke Madinah, Allah menempelak sebahagian tentera munafik yang pada mulanya menyatakan persetujuan untuk
bersama-sama Rasulullah di medan peperangan, tetapi membatalkan janji dan persetujuan mereka pada saat-saat genting tentera Islam bakal bertarung dengan kekuatan tentera Musyrikin
Quraisy dalam Perang Uhud. Berikutan peristiwa itu, Allah berfirman yang bermaksud : Maka hendaklah mereka tertawa sedikit dan menangis dengan banyak. (Surah at-Taubah, Ayat 82). Jelas daripada mafhum ayat ini, Allah mengungkapkan sifat lazim kaum munafik yang selalunya suka mengamalkan tabiat ketawa berlebihan. Justeru, jika begitulah sikap mereka, maka sebagai umat Islam, kita harus segera membuang sikap sedemikian.

Sedih, murung, riang, gembira dan ketawa adalah sentuhan naluri semula jadi, tetapi Islam tetap menghadkannya untuk mengelaknya berlaku dalam keadaan melampau. Lantaran itulah, walaupun berada dalam apa juga keadaan hidup yang akhirnya menuntut diri seseorang secara spontan berada dalam keadaan yang sesuai dengan apa yang dialami dan dirasai, Islam menyediakan pilihan lain yang boleh diguna pakai bagi mengelak daripada bertindak di luar batasan kemanusiaan apabila hati dan perasaan bertindak balas dengan apa yang dialami.

Rasulullah bersabda yang bermaksud: Dan janganlah kamu banyak ketawa kerana banyak ketawa itu mematikan hati. (Riwayat Ahmad dan at-Tirmizi). Jika dihayati maksud hadis ini, sewajarnya setiap insan mukmin segera menginsafi diri untuk tidak menjadikan ketawa sebagai perantara untuk menzahirkan perasaan tersendiri dengan cara berlebihan. Hal ini kerana dibimbangi boleh membawa kepada beku dan matinya hati. Hati adalah ejen penggerak utama sahsiah dan keperibadian seseorang. Justeru, jika hati sudah tidak lagi berfungsi dalam erti kata menjadi petunjuk dan pemandu arah manusia untuk meneruskan kembara hidup ini, maka sudah tentu tidak ada sedikit pun manfaat dan ganjaran yang diperoleh kerana pergerakan fizikal tidak lagi
berpandukan arahan hati yang murni.

Hati adalah pemerintah dalam diri setiap manusia. Jika baik dan bersih hati seseorang, maka akan baiklah seluruh anggota zahir seseorang dalam melakukan apa juga tindakan dalam hidup seharian. Sebaliknya, jika buruk dan rosak sebuku hati itu, maka akan rosaklah segala anggota asas dan pancaindera manusia apabila melakukan tindakan tertentu dalam hidup ini. Apabila hati sudah mati, maka akan mudahlah syaitan hakiki dan syaitan nafsu merajai diri dan akhirnya akan membawa diri ke lembah hina dan menyeleweng daripada landasan kebenaran. Begitu juga, akan terbentuklah kelompok manusia yang alpa dengan fungsi dan tanggungjawab asal manusia sebagai khalifah di bumi Allah.

Sesungguhnya, hati berperanan besar menjadi penghubung kepada jiwa dan perasaan manusia untuk mentazkiah (menyucikan) diri melalui bisikan zikir dan doa, yang mana dengan cara
itulah, manusia boleh mendekatkan diri dengan Yang Maha Pencipta dan menyemai rasa takut untuk melakukan sesuatu yang bercanggah dengan suruhan agama. Jika hati sudah mati, maka akan runtuhlah keperibadian manusia secara keseluruhannya. Hal ini kerana, pada ketika itu, keunggulan ciri-ciri manusia sejati yang lahir dengan kedudukan dan tanggungjawab di alam fana ini akan terabai.

Perlu juga disedari, bahawa pada ketika hati itu sudah rosak, maka sesuatu yang akan binasa ialah maruah diri. Individu itu tidak mampu lagi memandu dan membela maruah hidupnya iaitu kehormatan diri kerana proses untuk memantap dan menghidupkan darjat diri sudah tidak berfungsi lagi. Saidina Umar al-Khattab pernah berkata, seseorang yang banyak ketawa nescaya akan kurang rasa takutnya kepada Allah. Apabila rasa takutnya sudah berkurangan, maka akan kuranglah taatnya kepada Allah.

Suatu ketika, Rasulullah berjalan di depan sekumpulan orang yang sedang ketawa, lalu Baginda bersabda yang bermaksud: "Demi Tuhan yang jiwaku ini berada dalam genggaman-Nya. Jika kamu semua tahu apa yang aku tahu, nescaya kamu banyak menangis dan sedikit ketawa. (Riwayat Bukhari dan Abu Hurairah). Dalam hadis lain, Rasulullah mengingatkan kita jangan banyak ketawa dengan sabda Baginda yang bermaksud: Terlalu banyak ketawa itu boleh menghilangkan cahaya daripada wajah kita. Ketawa yang sudah sampai ke tahap berlebihan, maka ia lebih mengundang perkara negatif
daripada yang positif.

Orang banyak ketawa akan lebih suka
membiarkan masa berlalu tanpa diisi dengan sesuatu bermanfaat. Bukan itu saja, kadang-kadang, banyak ketawa boleh melupakan manusia daripada mengingati mati dan himpunan dosa yang menimbun dalam diri. Apabila lupa kepada mati, manusia akan lupa membuat persiapan menuju ke alam abadi kerana terlalu leka dengan keindahan, kekayaan, keseronokan dan kegembiraan yang tidak lebih hanya bersifat sementara. Orang banyak ketawa akan banyak membawa kepada kelalaian memikirkan tugasan dan amanah yang perlu dilaksanakan sebagai khalifah, ketua, ayah dan pemimpin dalam dunia.

Abdullah bin Abi Yu'lah pernah berkata: Adakah kamu masih bergelak ketawa sedangkan kain kafanmu sudah pun dikeluarkan dari istana Allah.
Justeru, bermuhasabah diri adalah jalan paling terbaik dilakukan sepanjang masa agar tidak terlalu leka dengan keseronokan dan keriangan yang dinikmati di dunia. Ini kerana, ia adalah suatu dugaan daripada Allah kepada hambaNya beriman. Di samping itu, kita digesa supaya menilai keperibadian sendiri pada setiap waktu agar dapat mengenal pasti setiap kelemahan dan kesalahan sama ada sengaja atau tidak. Kita juga diminta tidak mudah berpuas hati dan leka dengan pencapaian tersendiri, dan akhirnya menjadikan ketawa sebagai teman kepada keseronokan.

Benarlah ada kata-kata yang menyebut bahawa orang yang banyak ketawa akan banyak menangis kemudian. Hal ini kerana, manusia celaka di dunia yang banyak ketawa bukan saja tidak akan mampu ketawa dalam azab Allah, bahkan tidak akan mempunyai masa untuk mengukir senyum.
Sebaliknya, akan dihiasi dengan jeritan dan tangisan yang menghibakan. Abdullah Ibn Abbas pernah berkata; sesiapa melakukan perbuatan dosa dan kemudian ketawa, nescaya akan dimasukkan ke dalam neraka dengan tangisan.

Sekali lagi ditegaskan bahawa Islam tidak pernah melarang umatnya untuk ketawa, tetapi biarlah di atas landasan syariat yang sederhana. Hal ini kerana, kita tidak dapat mengelakkan sesuatu yang semula jadi tercipta. Semoga kita akan sama-sama berusaha mengawal diri daripada menyebabkan hati mati kerana apabila ia berlaku, maka akan hilanglah kenikmatan hidup untuk menjadi mukmin yang beriman kepada Allah.

DI MANA ALLAH DALAM HATI KITA??...


DIMANA ALLAH


Sesekali kita perlu merenung jauh ungkapan “ di mana Allah dalam hati kita,” agar kita dibayangi kasih saying Allah dengan apa yang kita lakukan, dalam kehidupan harian yang banyak menjurus kepada habuan duniawi lebih daripada mengingati Allah.

Kita perlu meletakkan dalam minda beberapa persoalan untuk dijawab, di mana ia boleh membantu meningkatkan iman,hubungan serta keupayaan untuk maju dalam pelaksanaan ibadah yang sangat-sangat dituntut oleh Islam.
Persoalan seperti-adakah kita telah mengagungkan Allah dalam perkara yang patut diagungkan? Bagaimana pula keagungan terhadap Allah menyerap masuk dalam sanubari kita?

Sehubungan ini, Saidina Ali bin Abi Talib ada mengungkapkan kata-kata masyhurnya yang memuji golongan solihin, antara lain beliau menyebut: "Sesungguhnya keagungan Allah sentiasa bertapak dalam hati, apa yang mereka lihat selainNya adalah kecil belaka".

Cuba perhati serta renung secara mendalam kehidupan golongan solihin, yang penuh dengan pujian terhadap Allah atas segala keagungan ciptaanNya.

Suasana ini telah menjadikan mereka sentiasa cermat dalam bertindak, berusaha tidak menyinggung kesucian Islam dengan kata-kata atau perbuatan. Mereka hanya takut kepada Allah dan tidak kepada makhluk apatah lagi derhaka kepadaNya.

Keagungan hanya layak disanjung terus kepada Allah, tidak memohon sesuatu melainkan kepadaNya. Hati mereka hanya berpaut hanya untukNya, semua yang ada di muka bumi ini kerdil dan bersifat sementara, hanya Allah sahajalah yang kekal tanpa kesudahan.

Justeru, di manakah kita terhadap cinta kepada Allah? Bagaimana hubungan kita denganNya? Adakah kita benar-benar memelihara kebenaran konsep cinta hanya kepadaNya atau ada yang lain turut menerima cinta kita untuknya? Adakah kita telah melakukan apa yang dikehandakiNya dalam proses kita meletakkan cinta hanya kepadaNya?

Perhatikan firman Allah kepada nabi Daud : “Wahai Daud! Sesungguhnya engkau menghendaki sesuatu daripadaKu, ana pun menghendaki sesuatu daripadamu. Jika engkau benar-benar taat kepadaKu pada apa yang ana mahu, maka ana akan permudahkan apa yang engkau mahu. Jika engkau menentangKu pada apa yang ana mahu, maka ana akan menyusahkan engkau, maka berusahalah pada apa yang ana mahu.

Dalam suasana yang lain pula, Allah ada menyatakan dalam sebuah hadis Qudsi yang bermaksud : “jika mana-mana hambaKu mentaatiKu, maka ana redha (rela) kepadanya, bila ana redha kepadanya maka akan ana berkati seluruh hidupnya, sesungguhnya keberkatan ana tidak ada penghujungnya, dan jika hambaKu melakukan maksiat kepadaKu, ana marah kepadanya, bila ana marah kepadanya maknanya ana melaknatnya.

Ketahuilah sekalian umat Islam, walau di mana mereka berada, dalam apa jua jawatan yang disandangnya, sesungguhnya Allah tidak suka kepada hambaNya yang memenuhi ruang hidupnya dengan pelbagai kebendaan dunia, hingga tiada ruang Allah di dalam hatinya.

Apatah lagi untuk mengingatiNya dengan berzikir, jika Allah Maha Besar dalam segenap tindak-tanduk hambaNya, anak yang disayangi dijadikan korban tanpa berbelah bagi, itulah terjadi yang kepada Nabi Ibrahim yang menyembelih anak kerana patuh kepada perintah Allah.

Dalam hal ini, baginda Rasulullah dan para sahabat tidak banyak bertanya, apatah lagi ragu terhadap perintah Allah untuk menghalakan kiblat ke Baitullah (Kaabah). Walaupun sebelum itu kiblat yang dihalakan adalah Masjid al-Aqsa, kerana Allah adalah segala-galanya dalam hidup mereka.
Hidup dan mati mereka hanya untuk Allah dan bukan yang lain, kerana yang lain selain Allah akan mati dan memerlukan sokongan lantaran kelemahan dan tidak sempurna.

Waktu sesuai untuk mendampingi Allah

Sekali lagi kita tanya diri sendiri “Di mana Allah dalam hati kita?” Adakah kita rasa amat gembira bila dapat berdamping denganNya atau sebaliknya? Adakah kita telah berusaha agar Allah sentiasa bersama kita?

Kalau begitu, sejauh manakah kita rasa gembira menerusi solat yang dilaksanakan ketika mendampingi dan bermunajat kepadaNya?

Apakah yang kita dapat rasai ketika sujud di dalam solat dan sejauh mana kita meneruskan zikir terhadapNya bukan hanya terbatas selepas solat, ingatlah ketika Allah menyebut : “ana bersama hambaKu ketika dia mengingatiKu dan kedua-dua bibirnya bergerak kerana ana”

Adakah kita dapat meluangkan sepertiga malam untuk menyepi diri bersama Allah? Tidakkah kita teringat akan janji-janji Allah kepada kita yang mampu bangun di tengah malam-Allah menyebut: “adakah terdapat hambaKu yang bangun di tengah malam untuk bertaubat, di mana ana menerima taubatnya, yang memohon keampunanKu, maka ana ampunkan segala dosa-dosanya dan memohon sesuatu maka ana berikan kepadanya”

Tidakkah kita mahu berusaha untuk menjadikan hati-hati kita ini penuh dengan pujian kepada Allah, berkorban keranaNya untuk meninggikan syiar agamaNya walaupun menghadapi pelbagai rintangan dan halangan.

Berapa banyak ruang yang ada pada kita untuk memerhatikan segala nikmat yang dianugerahkan Allah ke atas kita, terus bersyukur kepadaNya tanpa sebarang perasaan prejudis. Pernah terlintas dalam pemikiran kita bagaimana Allah menganugerahkan nikmat hidayah, kesihatan, harta, ilmu pengetahuan, kepandaian, kemahiran, bakat, anak-anak, ibu bapa, isteri atau suami kepada kita.

Atau kita hanya sekadar menerima nikmat tanpa sebarang balasan untuk beramal dan mematuhi segala titah perintah Allah.

Sesungguhnya ketahuilah wahai saudara saudari seagama! Dunia dan bumi yang kita pijak ini menjanjikan pelbagai kehancuran, ia boleh berlaku pada apa yang kita ada atau kita cari, termasuk harta benda, anak-anak, pangkat dan jawatan, tapi apa yang penting, di mana Allah dalam hati kita?

Jika tergerak hati untuk melakukan sesuatu kejahatan, tanyalah diri di mana Allah dalam hati kita? Allah kah yang patut dicari atau maksiat yang patut ditembusi, bagaimana keadaan ana ketika hendak bertemu dengan Allah (mati) sedangkan ana melakukan maksiat kepadaNya?

Apabila kita ingat Allah pada waktu susah, pasti Allah akan ingat kita pada waktu kita senang dan lapang.

Demikianlah peringatan yang perlu kita sama-sama ingatkan antara satu sama lain, agar Allah ada dalam hati kita sama ada pada perkara sekecil-kecilnya atau yang sebesar-besarnya, Tanya diri – di mana Allah dalam hati kita?

KU HARAP PANAS SAMPAI KE PETANG...RUPANYA HUJAN DITENGAH HAri




KUHARAP PANAS SAMPAI KE PETANG..RUPANYA HUJAN DITENGAH HARI..

Begitulah lumrah kehidupan kita sebagai hamba..yang hanya mampu merancang..sedang Allah yang menentukan segalanya..yang telah berlaku..sedang berlaku mahupun yang akan berlaku..segalanya atas perancangan-Nya yang Maha Mengetahui..

Namun, sebagai hamba kita harus berusaha..kita harus berdoa..dan selebihnya bertawakal kepada Allah..

DOA ITU ADALAH SENJATA BAGI ORANG ISLAM..apa yang penting ialah keyakinan kita sebagai hamba bahawa Allah Maha Mendegar..akan segala yang kita doakan.. Keyakinan yang mantap bahawa Allah memakbulkan doa kita harus benar-benar ada dlm diri kita sebagai hamba kerana itulah hakikat diri kita sebagai hamba yang sentiasa mengharap pertolongan dari Allah..

Engkaulah yang kami sembah dan kepada Engkau sahaja kami memohon pertolongan

Saudara-saudaraku yang dirahmati Allah,

Setiap orang menginginkan kebahagiaan yang berkekalan..setiap orang pasti menginginkan kejayaan dan kecemerlangan yang berpanjangn..Kita punya impian yang tersendiri..impian hidup di dunia mahupun akhirat..

Namun, tak semua apa yang kita impikan akan tercapai..tak semua yang kita rancang terlaksana seperti yang kita kehendaki..krn Allah lah sebaik-baik perancang..DIA pasti telah merencanakan sesuatu yang lebih baik untuk kita atau mungkin kerana Allah ingin menguji kita..menguji keimanan dan kesabaran kita menempuh ujian dan dugaannya..tapi, apa yang pasti..Allah tidak akan menguji kita diluar kemampuan kita..

lihat saudara-saudaraku..

betapa Allah itu Maha Pengasih..Betapa Allah itu Maha Penyayang..

cuma kita yang kadang-kadang tak sabar..cuma kita yang kadang-kadang berprasangka pada Allah..kerana dalam hati kita masih ada keraguan..masih ada rasa sangsi..

Allah sayangkan kita kerana itu DIA menguji kita..DIA mahu hati kita tertaut kembali padanya..siapa lagi yang dicari andai hati tak keruan..siapa lagi yang bisa dicari tika hati sedih entah kenapa..siapa lagi yang dicari untuk memberi kekuatan pada jiwa insani..DIA..hanya DIA..Yang Maha Mendengar riintihan hamba-Nya..

Maka redhailah wahai manusia..
sabarlah menempuh ujian dan dugaan yang Allah anugerahkan untukmu..
yakinlah..betapa sebenarnya DIA menyayangimu..
Kerana itu dirimu diuji..
Segala yang terjadi biarkan terjadi..
usah kamu berpaling kebelakang..
Senyumlah tanda kamu redho dengan apa yang terjadi..
kerana itulah rahmat ujian..